Jakarta – Industri muzik tanah air kini menyaksikan kemunculan sebuah duo wanita baharu yang penuh potensi, MCMD, yang secara rasmi membuat debut menerusi single pertama mereka berjudul “Modus”.
Duo ini dianggotai oleh dua gadis berbakat dari Sabah, Michelle Cheng (MC) dan Melinda Dadew (MD). Michelle Cheng sebelum ini dikenali sebagai personaliti media sosial yang aktif di TikTok dengan pengikut setia, manakala Melinda Dadew pula memiliki kekuatan vokal serta pengalaman pentas, termasuk penyertaannya dalam program realiti Astro “Raise The Stars” hingga ke peringkat suku akhir.
Kini berada di bawah naungan Chaoss Entertainment, MCMD merupakan projek terbaharu label tersebut dalam usaha melahirkan bakat baharu yang mampu menembusi pasaran serantau. Chaoss Entertainment turut memainkan peranan penting dalam membentuk identiti duo ini, termasuk membawa mereka ke Jakarta, Indonesia bagi proses rakaman lagu debut.
Single “Modus” merupakan hasil ciptaan komposer Indonesia, Rizky Maulana dan Rarin, yang menggabungkan elemen moden dengan sentuhan rentas budaya. Pendekatan ini menjadikan lagu tersebut relevan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.
Pembikinan muzik video “Modus” pula telah dijalankan selama dua hari di sekitar Jakarta, sekali gus memberikan pengalaman berharga buat MCMD dalam membina keserasian (chemistry) dan memperkukuhkan identiti artistik mereka.
“‘Modus’ adalah permulaan untuk kami. Kami mahu orang kenal siapa MCMD dan warna muzik yang kami bawa. Ini langkah pertama yang sangat bermakna,” kata Michelle Cheng.
“Pengalaman rakaman dan penggambaran di Jakarta memang mencabar, tetapi sangat berharga. Kami berharap ‘Modus’ dapat diterima dan memberi impak kepada pendengar,” tambah Melinda Dadew.
Menurut Chaoss Entertainment, penubuhan MCMD merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang untuk membangunkan artis yang bukan sahaja relevan secara digital, tetapi juga memiliki nilai komersial dan identiti kukuh di peringkat antarabangsa.
Dengan gabungan karisma, bakat, dan strategi yang mantap, MCMD dilihat berpotensi menjadi antara nama baharu yang mencuri perhatian dalam industri muzik serantau.
Single “Modus” kini boleh didengarkan di semua platform digital, manakala muzik video rasminya tersedia di saluran YouTube Chaoss Entertainment bermula 1 Mei 2026.
(Ysf)

